![]() |
Harga Baju Koko |
Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Datuk Anifah Aman yang mempengerusikan mesyuarat dua hari majlis berkenaan berakhir hari ini berkata, harga yang rendah itu tidak mencerminkan asas-asas pasaran dan ia menimpakan akibat kewangan teruk ke atas penanam-penanam koko.
''Dalam hal ini, majlis telah mengarahkan juru cakap bagi negara-negara anggota dan pengeluar di Perjanjian Antarabangsa Koko Ke-6 yang akan datang supaya menekankan mengenai kebimbangan pengeluar yang mahukan harga-harga koko lebih adil dan saksama memandangkan pendapatan penanam-penanam koko amat penting kepada negara-negara pengeluar,'' kata beliau kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata perjanjian itu patut mengandungi senarai cadangan khas yang menggariskan hak dan kewajipan semua anggota, pengeluar dan pengguna ke arah penentuan harga dan urus niaga koko yang adil dan saksama.
Beliau berkata mesyuarat itu turut mengulangi pendirian para pengeluar mengenai konsep kemapanan yang harus mencakupi kewajipan dan tanggungjawab bagi kedua-dua pengeluar dan pengguna.
''Majlis itu turut menyokong perlaksanaan yang berkesan keputusan empat pengeluar utama koko Afrika Barat untuk menarik balik dan memusnahkan 250,000 tan metrik koko, bermula daripada musim koko 2000/2001,'' kata beliau.
Keputusan untuk memusnah sejumlah tertentu koko itu dibuat pada perhimpunan agung luar biasa yang ke-23 Copal yang diadakan di London pada bulan April tahun ini.
''Mesyuarat itu juga memberi penekanan semula mengenai keperluan dan pentingnya penggalakan koko yang berterusan, yang dibiayai oleh kedua-dua pengeluar dan pengguna di samping pembangunan penggunaan alternatif koko untuk meningkatkan lagi penggunaan dunia dan mencapai pasaran koko dunia yang stabil,'' kata beliau.
Ia turut mengesahkan pemilihan anggota-anggota baru majlis Copal untuk tahun 2000/2001 yang terdiri daripada Brazil sebagai pengerusi, Cameroon (naib pengerusi) dan Gabon (juru audit).
Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1007&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=bs_06.htm#ixzz4omKLmWEe
Komentar
Posting Komentar